drhalimahali

PENAGIHAN DADAH BUKAN MASALAH ANDA

In NADI, Pemadam, Pusat serenti, PUSPEN on April 24, 2009 at 12:31 am

Jika anda fikir dan rasa, penagihan dadah bukan masalah anda, berhenti membaca di sini. Jangan buang masa. Terima kasih. Jumpa anda di puncak jaya.

Jika anda fikir anda mampu menyumbang sesuatu kepada permasalahan bangsa Melayu, sila teruskan membaca. Terima kasih.

Apa yang anda perlu ketahui dari entri ini:

1. Berdasarkan statistik 2008 yang dikeluarkan oleh Unit Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (Nadi) seramai 6,413 (51.92 peratus) daripada 12,352 penagih dadah dikenalpasti merupakan penagih berulang.

2. Purata 16 penagih baru dan 18 penagih berulang dilaporkan setiap hari di sepanjang 2008. Gambar hiasan insan hilang pertimbangan.

3. Pusat Serenti kini dikenali sebagai Puspen (Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik).

4. Tiga peringkat ketagihan – penagih baru, biasa dan tegar.

5.
Terapi Penggantian Dadah (Drug Substitution Therapy atau DST) iaitu mengambil dadah gantian yang lebih selamat dan pada masa yang sama penagih menjalani proses pemulihan. MDST atau Terapi Penggantian dadah menggunakan Methadone telah diperkenalkan.

6.
Program pemulihan dadah di Malaysia kurang berkesan, memandangkan kadar penagihan berulang melampaui 50 peratus menurut Prof. James F. Scorelli.

Membantu Penagih Dengan Methadone

Oleh Ravichandran D.J Paul

Penagihan dadah merupakan masalah serius di Malaysia dengan purata 16 penagih baru dan 18 penagih berulang dilaporkan setiap hari di sepanjang tahun lepas.

Satu lagi hakikat yang patut diberi perhatian dalam statistik 2008 yang dikeluarkan oleh Unit Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (Nadi) ialah 6,413 (51.92 peratus) daripada 12,352 penagih dadah yang dikenalpasti merupakan penagih berulang.

Berdasarkan kepada angka penagih berulang ini, Tan Sri Lee Lam Thye, bekas pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), membuat kesimpulan bahawa program pemulihan yang dijalankan selama ini gagal memenuhi objektifnya.

Lee menyatakan ini semasa rundingan meja bulat Persatuan Perubatan Penagihan Malaysia (AMAM) di sini yang bertemakan `Looking Into the Window of Treatment Opportunities for Drug Dependence’.

Satu lagi kenyataan ketara mengenai senario proses pemulihan di negara ini datang daripada Prof. James F. Scorelli yang menyebut di dalam jurnal `International Journal of Psychosocial Rehabilitation’ bahawa program pemulihan dadah di Malaysia kurang berkesan, memandangkan kadar penagihan berulang melampaui 50 peratus.

MERAWAT PENAGIH KERJA SIA-SIA?

Beratus juta ringgit dibelanjakan selama ini dalam memulihkan penagih yang bilangan mereka terus meningkat selain aktiviti jenayah mereka yang mengancam masyarakat.

Rakyat Malaysia tentu masih ingat sejumlah Pusat Serenti yang dibuka, sekarang ini dikenali sebagai Puspen (Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik), dan pusat pemulihan di seluruh negara yang sering menjadi perhatian kerana penghuni yang merusuh.

Penagihan dadah merupakan masalah perlakuan dan biologi yang kompleks tetapi boleh dirawat seperti yang dinyatakan oleh Dr Sivakumar Thurairajasingam, perunding psikiatri dan pensyarah School of Medicine and Health Sciences, kampus Monash University di Malaysia.

Bagaimanapun, matlamat rawatan hari ini bukan lagi menghentikan sama sekali pengambilan dadah yang secara realitinya hanya boleh dicapai oleh sekumpulan kecil penagih tetapi satu pendekatan yang lebih realistik dikenali sebagai `harm reduction’ yang dapat membantu lebih ramai penagih.

Oleh itu, seperti di kebanyakan negara maju, Malaysia turut mengamalkan Terapi Penggantian Dadah (DST) sejak 2002 yang merupakan pilihan lebih berpotensi dalam membantu penagih pulih. Melalui terapi ini penagih sebenarnya mengambil dadah gantian yang lebih selamat dan pada masa yang sama mereka menjalani proses pemulihan. Bagaimanapun, terdapat beberapa isu dalam menggunakan DST yang perlu diberi perhatian supaya hasilnya mencapai tahap yang memberangsangkan.

RAWATAN MENDERA

Lee dan Dr Sivakumar menarik perhatian bahawa pendekatan utama rawatan sekarang ini menggunakan disiplin yang ketat di mana penagih dikurung di pusat-pusat pemulihan. Ini bukanlah pendekatan yang ideal terutama memandangkan tiada kaedah rawatan tunggal yang memadai untuk menangani peringkat ketagihan berbeza — penagih baru, biasa dan tegar. Kadar kejayaan rawatan sehingga 20 peratus yang direkodkan di institusi pemulihan kerajaan jelas menunjukkan kelemahan di dalam program pemulihannya.

Lee berpendapat rawatan tegas seperti ini hanya menimbulkan rasa takut dan menghalang mereka yang lain untuk tampil mendapatkan rawatan secara sukarela.

“Rawatan bagi penagihan dadah haruslah secara sukarela dan penagih dadah tidak patut ditangkap atau diganggu. Cara terbaik untuk melakukannya ialah memberikan mereka keyakinan untuk mendapatkan rawatan,” tambah Lee.

Satu lagi perkara penting berdasarkan kepada pemerhatian Lee ialah sokongan ibu bapa dan masyarakat diperlukan tetapi kedua-dua kumpulan ini memilih untuk menyisihkan penagih dadah.

ADAKAH DST PILIHAN TERBAIK

Walaupun DST menggunakan Buprenophine diperkenal di sini pada 2002 dan diterima dengan baik, ia tergendala pada 2004 selepas penyalahgunaan dilaporkan. Bagaimanapun, pada 2005 Projek Methodone DST (MDST) Kebangsaan diperkenal oleh kerajaan.

Walaupun MDST turut dikritik, kajian yang dijalankan oleh Universiti Malaya (UM) melalui projek perintis MDST pada 2005 mencatatkan kadar pengekalan penagih yang datang untuk mendapatkan rawatan secara sukarela sehingga 90 peratus dalam tempoh setahun.

MDST pada asasnya merupakan rawatan dalam senario pejabat dengan penagih hadir untuk mengambil dos methadone semasa tempoh induksi dan mengambil ubat itu di rumah semasa tempoh `maintenance’ atau penjagaan. Kakitangan yang mengendalikan penagih ini juga akan memantau kemajuan rawatan.

Terapi ini menangani secara langsung proses psikologi di sebalik ketagihan dan mendambakan dadah. Kajian juga menunjukkan penagih yang dijangkiti HIV dalam program MDST menunjukkan keputusan yang lebih baik terhadap rawatan Antiretroviral (ARV) dengan kadar kejayaan yang sama berbanding kes HIV positif yang tidak berkaitan dengan penagih dadah.

Dengan kejayaan yang dicatatkan oleh MDST di negara-negara lain dan dalam menepati Matlamat Pembangunan Milennium Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Malaysia kini meningkatkan lagi program MSDT melalui `methadone up scaling’.

ISU PENTING BERHUBUNG MDST

Buat masa ini, terdapat usaha bersepadu dalam membolehkan MDST didapatkan dengan lebih mudah oleh penagih dadah yang mahu pulih secara sukarela.

Presiden AMAM Dr Steven Chow yang mempengerusikan meja bulat itu berkata sejak 2001 sekurang-kurangnya 600 pengamal perubatan persendirian menawarkan diri untuk melaksanakan skim MDST.

Bagaimanapun, ia bukanlah tugas yang mudah memandangkan cabaran yang dihadapi oleh pengamal perubatan swasta dan penagih di bawah program MDST.

Yang pertama, kata Dr Chow, penagihan ialah penyakit `degil’ yang seringkali membabitkan pesakit yang memang degil dan oleh itu bukanlah mudah untuk meyakinkan penagih ini untuk tampil dan mendapatkan rawatan secara sukarela.

Kedua, tiada bantuan kewangan atau sumber daripada kerajaan bagi pengamal perubatan swasta yang terbabit dalam program MDST.

Ketiga, doktor-doktor ini perlu berdepan dengan isu yang berkaitan dengan penguatkuasaan undang-undang seperti penagih dadah yang di bawah rawatan mereka ditangkap polis dan menyebabkan proses rawatan terganggu.

PERLU LEBIH FAHAM

Senario ketiga menjadi keluhan Datuk Dr Lim Boon Sho, naib presiden AMAM, yang dua daripada pesakitnya ditangkap polis baru-baru ini ketika mereka menerima rawatan suboxone, satu daripada dadah gantian yang dibenarkan di bawah Akta Racun 1952.

“Seorang daripada pesakit saya yang dibawa oleh bapanya bagi menjalani DST ditangkap di luar klinik selepas beliau menerima rawatan kali pertama. Seorang lagi pesakit yang merupakan pekerja Majlis Perbandaran Seberang Perai yang mengikuti rawatan DST dengan rapi sejak dua tahun lepas, dan menunjukkan tanda-tanda pulih yang baik, juga ditangkap selepas menerima rawatan daripada saya. Tindakan ini memang membingungkan saya dan menimbulkan kebimbangan keluarga penagih.

“Saya mendapati terdapat salah faham yang serius mengenai dadah gantian ini,” katanya.

Doktor dermawan ini telah merawat penagih dadah di Seberang Perai bermula dengan penagih ganja sejak 30 tahun yang lepas dan beliau mendapat kepuasan daripada melihat penagih-penagih ini pulih dan kembali menjalani kehidupan biasa, ke pangkuan keluarga dan masyarakat.

Berdasarkan kepada pengalamannya sendiri, Dr Lim berkata pengamal perubatan swasta yang menjalankan DST telah menyaksikan kejayaan sehingga 75 peratus dalam memulihkan penagih.

Persidangan meja bulat itu juga berpendapat mungkin terdapat sedikit salah faham mengenai undang-undang yang menyebabkan penangkapan penagih dadah yang menjalani rawatan DST tetapi seorang wakil polis yang hadir berkata mereka mungkin ditangkap kerana kes jenayah yang lain.

KEPUTUSAN MENGGALAKKAN DARIPADA MDST

Apa jua kekurangannya, DST menggunakan methadone dilihat sebagai kaedah berpotensi dalam memulihkan penagih. Pada 8 April, Universiti Malaya mencatat pencapaian penting dalam MDST dengan pembukaan Pusat UM bagi Sains Penagihan dan Klinik Penyelidikan Methadone (UMCAS) di Jalan Universiti.

Ketua penyelaras pusat itu Dr Rusdi Abdul Rashid berkata pusat berkenaan merupakan hasil daripada projek perintis MSDT yang dilancarkan pada 2005 di klinik psikologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC).

Selepas beberapa minggu memulakan rawatan, kebanyakan penagih dapat kembali bekerja dan menikmati kehidupan yang lebih baik. Klinik itu dijangka memberikan rawatan kepada antara 200-400 pesakit sebulan dengan sekurang-kurangnya 200 merupakan mereka yang daripada senarai menunggu di klinik psikologi.

Dr Rusdi percaya klinik itu sedia memainkan peranan besar dalam mencapai matlamat kerajaan untuk memulihkan sehingga 60 peratus daripada sejumlah 72,000 penagih heroin yang diramalkan menjelang 2015.

MDST kemungkinan harapan terbaik buat masa ini dalam merawat penagih dadah dan banyak pusat pemulihan mula mengamalkan program ini. Bagaimanapun bilangan penagih yang meningkat setiap tahun masih membimbangkan kerana beban yang ditanggung untuk memulihkan mereka.

BERNAMA

BERAPAKAH SUMBANGAN PEMBAYAR CUKAI KEPADA PENAGIH DADAH


STATISTIK PENAGIHAN DADAH DI MALAYSIA

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: