drhalimahali

Archive for June, 2009|Monthly archive page

MAJLIS RAJA MELAYU MINTA RUU KEKELUARGAAN ISLAM DITANGGUH

In 1 on June 30, 2009 at 11:55 pm

Tangguh bentang pindaan RUU Kekeluargaan Islam , keputusan Majlis Raja Melayu dialukan

Keputusan Majlis Raja-raja Melayu supaya kerajaan menangguhkan pembentangan tiga Rang Undang-undang berkaitan kekeluargaan Islam adalah tepat dan dialukan.

Demikian tegas Naib Ketua Pemuda PAS Pahang, Abdullah Abdul Karim kepada Harakahdaily hari ini bagi mengulas isu tersebut.

Beliau merujuk kepada Persidangan (Khas) Majlis Raja-Raja Melayu Kali Ke 217 yang bersidang pada 29hb Jun 2009) di Istana Negara.

Di dalam persidangan ini, Majlis Raja-Raja Melayu telah memutuskan supaya cadangan kerajaan untuk membentangkan pindaan Rang Undang-Undang di Parlimen bagi meminda Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, ditangguhkan terlebih dahulu bagi mendapatkan terlebih dahulu pandangan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri.

“Kami dengan ini mengalu-alukan keputusan tersebut atas pertimbangan bahawa sebarang pindaan undang-undang yang membabitkan isu-isu yang sensitif seperti soal implikasi dari penukaran agama, haruslah dibuat dengan cukup berhati-hati bagi mengelakkan berlakunya ketegangan dan salah faham,” ujarnya.

Hakikat ini boleh dilihat dengan jelas pada ketika kabinet membuat satu keputusan kontroversi pada bulan April yang lalu, katanya.

April lalu ujar Abdullah, kerajaan telah memutuskan bahawa seseorang anak yang masih belum dewasa adalah kekal di dalam agama kedua ibu bapanya (common religion) sewaktu di dalam perkhawinan, meskipun salah seorang dari kedua ibu bapanya telah memeluk agama yang lain.

Pada masa yang sama, DPPNP menuntut supaya kerajaan bukan sahaja mengambilkira pandangan dan cadangan dari Majlis Agama Islam Negeri, katanya.

Bahkan katanya semua pihak yang berkaitan seperti parti-parti politik, NGO-NGO, pakar-pakar perundangan sivil dan syariah dan badan-badan agama sebelum Rang Undang-Undang tersebut dibentangkan di Parlimen.

“Pemuda PAS berharap dan akan berusaha memastikan supaya pindaan yang dicadangkan tersebut bukan sahaja menghormati kedudukan dan kemuliaan agama Islam, tetapi pada masa yang sama turut member keadilan kepada penganut agama-agama yang lain,” katanya.

Semalam di Parlimen, dalam satu pertemuan dengan ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution beliau telah mendedahkan isu keinginan kerajaan untuk membentangkan rang undang-undang tersebut dalam tempoh dua hari lagi bagi persidangan di Dewan Rakyat.

Saifuddin mendakwa, pindaan itu antara lain hanya akan menjejaskan fungsi Mahkamah Syariah, sebaliknya kuasa mahkamah tersebut akan dialih ke Mahkamah Sivil.

Paling dikhuatiri ujar Saifuddin, pindaan yang dibuat itu dalam tempoh yang sangat singkat sementara kertas pindaan masih belum diserahkan kepada ahli Parlimen untuk diperhalusi.

Pindaan ini (jika dibentang) hanya akan membangkitkan sensitiviti masyarakat Islam khususnya, kata Saifuddin.

Di peringkat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), pihaknya akan bertemu dengan Majlis Peguam Malaysia bagi membincangkan isu ini, sementara PAS katanya akan berbincang dengan Peguam Islam mengenai isu yang sama.

Wan Nordin Wan Yaacob/wann/mks/harakahdaily

Advertisements

LAWATAN KE AL-MADINAH INTERNATIONAL UNIVERSITY (MEDIU)

In 1 on June 30, 2009 at 11:35 pm


Further story HERE

PENGUMUMAN CERAMAH “MANEK URAI” DI SELANGOR

In 1 on June 30, 2009 at 10:30 am


PENGANJUR: JPN Selangor dan MTD/UKJ Gombak

TARIKH: 07 JULAI 2009

TEMPAT: Kompleks Muhibbah Taman Bolton, berdekatan Batu Caves

WAKTU: 9.00 malam

PENCERAMAH:

1. Dato’ Dr Hassan Ali,

2. Dato’ Husam Musa

3. Haji Mohammad Sabu

4. Hj Mohd Fauzi Abdullah.- Calon PAS PRK 041 Manik Urai,

Saudara-saudari dijemput datang beramai-ramai. Masuk Percuma.

FIKRAH DR MAHATHIR TENTANG RASUAH

In 1 on June 29, 2009 at 11:04 pm

Cadangan Benarkan 60,000 Perwakilan Mengundi Bendung Rasuah Umno

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) — Cadangan pindaan perlembagaan Umno untuk membenarkan 60,000 perwakilan mengundi pada pemilihan parti itu berbanding 2,600 perwakilan yang diamalkan sekarang adalah cara terbaik bagi membendung amalan rasuah, kata mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sambil menyambut baik cadangan tersebut, beliau mengingatkan bahawa akhirnya anggota Umnolah yang perlu mengubah sikap mereka dengan tidak meneruskan amalan menerima dan memberi rasuah.

“Ini merupakan pindaan perlembagaan Umno untuk kali ketiga bagi mengelak amalan rasuah di kalangan ahli-ahli Umno tetapi kalau ahli-ahli Umno masih mengutamakan menerima rasuah sebanyak RM200, RM300 daripada mengutamakan parti, bangsa dan negara, apa pindaan pun tidak akan mendatangkan hasil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kursus Percambahan Minda dan Jati Diri anjuran Biro Penerangan Umno Bahagian Pandan, Selangor di Institut Latihan Memperkasa Umno (ILMU), Janda Baik, Pahang, hari ini.

“Walaupun membenarkan sebanyak 60,000 perwakilan untuk mengundi dalam pemilihan Umno, (memboleh) kita bebas daripada rasuah, akhirnya sikap kita itu yang lebih penting,” tegas beliau.

“Jangan terima rasuah, itu adalah satu perkara besar, anda makan duit haram macam makan babi, bagi saya orang yang makan duit rasuah, dia beli apa pun ia jadi haram, kalau dia beli makan, dia macam makan babi,” katanya.

Dr Mahathir menegaskan perkara ini ketika mengulas mengenai sistem kuota yang diamalkan Umno sekarang yang dikatakan menjadi punca kepada amalan rasuah yang berleluasa.

Draf pindaan perlembagaan Umno itu dijangka siap sebelum perhimpunan Agung Umno khas yang dijadual dari 13 hingga 16 Okt ini.

Ditanya mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, Kelantan Dr Mahathir berkata beliau lebih suka berusaha untuk memulihkan semula kredibiliti Umno di kalangan anggota dan juga penyokong parti yang bukan ahli parti Umno kerana mereka ini akan menentukan sama ada Umno akan menang atau kalah pada masa akan datang.

Sementara itu, Dr Mahathir turut meluahkan perasaan gembiranya kerana inilah kali pertama selama enam tahun sejak beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, diberi peluang untuk bercakap terus dengan anggota Umno.

“Saya lebih senang cakap dengan orang Umno (di peringkat akar umbi) daripada orang atasan, akhirnya orang di peringkat akar umbi yang akan menentukan menang atau kalah,” katanya.

— BERNAMA

MINYAK DI PERAIRAN KELANTAN HAK MUTLAK PUSAT?

In 1 on June 29, 2009 at 10:46 pm


“Mengikut peraturan perairan Negara, kawasan kosong hingga tiga batu nautika adalah tertakluk di bawah bidang kuasa atau hak kerajaan negeri, manakala tiga batu nautika hingga 200 batu nautika adalah di bawah Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat.” kata Mustapha Mohamad.

“Sekiranya diukur jarak pelantar tersebut dengan pantai Kelantan hanya 170 km berbanding dengan Terengganu 220 km. Dan nilai pengeluaran gas dan minyak dari pelantar tersebut sejak 2004 sehingga tahun lepas berjumlah RM46.8 bilion. Sedangkan di perairan Terengganu sebanyak RM36 bilion manakala Sabah (RM5 bilion). Ini bermakna jumlah pengeluaran dari perairan Kelantan lebih besar,” kata Husam.

Tiga berita mengenai “emas hitam” di Kelantan

*Royalti Minyak Di Kelantan Tidak Berbangkit – Mustapa

*Royalti Minyak: Umno-BN tipu rakyat Kelantan!

*Jabatan Perangkaan, EPU sahkan Kelantan pengeluar minyak


Royalti Minyak Di Kelantan Tidak Berbangkit – Mustapa

KUALA KRAI, 27 Jun (Bernama) — Pemimpin parti pembangkang tidak harus mempolitikkan isu royalti minyak dan gas di Kelantan kerana ia tidak berbangkit, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, Kerajaan Kelantan tidak layak menerima royalti bahan itu sebagaimana negeri-negeri lain, termasuk Sabah, Sarawak dan Terengganu, kerana kawasan operasi bahan itu terletak di kawasan tuntutan pertindihan di bawah perjanjian perairan antarabangsa melibatkan negara jiran, Thailand dan Vietnam.

Menurutnya, isu berkenaan bukanlah baru, malah pernah dibangkitkan di Parlimen oleh pihak pembangkang.

“Jadi isu Kerajaan Pusat tidak membayar royalti minyak dan gas kepada kerajaan negeri Kelantan, tidak berbangkit, kerana kerajaan negeri tidak layak menerima royalti,” katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, dekat sini, Sabtu.

Katanya, kerajaan Pusat tidak sekali-kali mencabuli hak kerajaan negeri dan tidak menzalimi rakyat menikmati peluang pembangunan sebagaimana negeri lain di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, walaupun Kelantan tidak mendapat royalti bagi bahan petroleum itu, namun kerajaan Pusat tidak mengabaikan kebajikan rakyat dengan menyalurkan peruntukan besar sehingga lebih RM7 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Beliau berkata, mengikut peraturan perairan Negara, kawasan kosong hingga tiga batu nautika adalah tertakluk di bawah bidang kuasa atau hak kerajaan negeri, manakala tiga batu nautika hingga 200 batu nautika adalah di bawah Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat.

Menurutnya, Kerajaan Pusat tidak akan menganiayai kerajaan Kelantan tanpa mengira fahaman politik untuk membela rakyat sama ada semasa atau selepas pilihan raya.

— BERNAMA

=================================================================
Royalti Minyak: Umno-BN tipu rakyat Kelantan!

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Hrkh) – Pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) terus berbohong dalam kempen pilihan raya kecil DUN Manek Urai dengan mengatakan tidak wujud minyak dan gas serta industrinya di negeri Kelantan.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendedahkan beliau sendiri telah pergi ke pelantar cari gali minyak dan gas di perairan Kelantan sebaik sahaja mendapat berita tentang wujudnya ’emas hitam’ itu di negeri tersebut, sedikit masa dahulu.

“Kebetulan saya duduk tepi pantai, bersama orang ke laut (nelayan) (saya telah pergi) melawat pelantar minyak, tengok pelantar minyak (dan) pelantar gas di situ.

“Dalam kawasan (perairan) Kelantan, bukan dalam perairan Siam dan perairan antarabangsa,”jelasnya ketika berucap dalam majlis perisytiharan calon pilihan raya kecil DUN Manek Urai, di Kampung manek Urai Lama,kelmarin yang dipetik Buletin Online.

Sehubungan itu, beliau berkata, Petronas wajib membayar royalti minyak sebanyak 5% kepada negeri Kelantan sebagaimana perjanjian di antara syarikat minyak itu dengan kerajaan-kerajaan negeri pada tahun 1975.

Sebelum itu, Pengarah Pilihan raya KeADILan, Saifudin Nasution berkata pengundi Manek Urai mesti menolak Umno-BN sekiranya mereka bertanding dalam pilihan raya kecil DUN tersebut.

Beliau berkata demikian, kerana kerajaan BN bukan sahaja tidak membayar royalty minyak, malah telah berbohong dan menipu rakyat Kelantan dalam Parlimen mengenai kewujudan minyak di Kelantan.

“Kita kemudian mendapati, bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak bercakap benar, dalam bahasa kasar, mereka telah memberikan jawapan bohong dalam Parlimen.

“Hasil kajian kita mendapati dalam buku Jabatan Perangkaan Kerajaan Malaysia yang dikeluarkan pada 2007 mukasurat 187, jadual 5.3 menyebutkan dengan jelas negeri-negri pengeluar minyak di Malaysia,”tegas Saifudin yang juga ahli Parlimen Machang.

Katanya Umno-BN hanya menipu rakyat Manek Urai dengan memasang papan tanda ‘Rakyat di Dahulukan, Manek Urai Di utamakan’, sedangkan mereka tidak membayar royalti minyak yang telah berjumlah RM 1bilion sejak tahun 2002.

Oleh itu katanya rakyat mesti menolak calon Umno-BN pada pilihan raya kecil Manek Urai pada 14 Julai depan.

“Rakyat didahulukan, Manek Urai diutamakan? Dia boleh pasang papan tanda banyak-banyak (dalam kempen pilihan raya),tetapi bukti ini (telah) menunjukkan bahawa kita (Kelantan) ada minyak, Umno tak bayar royalti minyak.

“Sebab itu kita mesti tolak calon mereka (Umno-BN) pada pilihan raya kecil Manek Urai pada 14 hari bulan nanti,”katanya.

mks/Harakahdaily
====================================================================================

Jabatan Perangkaan, EPU sahkan Kelantan pengeluar minyak

KOTA BHARU, 29 Jun (Hrkh) – Sekiranya Kelantan tidak layak menerima royalti petroleum mengapa disenaraikan dalam Bank Data Malaysia sebagai salah sebuah negeri pengeluar minyak di negara ini.

Selain itu, berdasar kepada laporan Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (EPU) bertarikh 16 Mac 2009 Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kelantan dalam sektor perlombongan meningkat secara mendadak kepada 22.4 peratus.

Sedangkan sebelum itu, sektor berkenaan hanya menyumbangkan sebanyak satu peratus sahaja kepada KDNK Kelantan.

“Ini seolah-olah menggambarkan EPU telah menyenaraikan Kelantan sebagai negeri pengeluar minyak sama seperti Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Jadi mengapa ada menteri menyebut Kelantan tiada hak untuk mendapat royalti minyak,” kata anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Husam Musa pada persidangan Dun hari ini.

Isu royalti minyak menjadi topik menarik perhatian ahli-ahli Dewan apabila Haji Abdul Fatah Harun (PAS – Bukit Tuku) membangkitkan perkara itu berikutan soalan asal ditanya Dato’ Noor Zahidi Omar (BN – Pengkalan Kubur).

Menghurai panjang lebar perkara itu Husam berkata, Laporan Band Data Malaysia 2007 pada muka surat 187 secara jelas menyenaraikan Kelantan sebagai negeri utama dalam industri petroleum di negara ini sejak 2004.

Data tersebut menyebut nilai pertumbuhan industri petroleum di Kelantan, Sabah dan Terengganu sebanyak 62.5 peratus berbanding Sarawak (37.5 peratus).

Manakala nilai ouput (pengeluaran) tiga negeri berkenaan iaitu RM46.8 bilion berbanding Sarawak (RM14 bilion).

“Kita menuntut royalti daripada bahagian yang diterima Malaysia kerana kawasan pengeluaran minyak terbabit terletak di lokasi tuntutan bertindih dengan Thailand dan Vietnam.

“Kelantan tidak menuntut bahagian yang diterima Thailand, sebaliknya agihan diterima Malaysia selepas pembahagian dibuat antara tiga negara,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Mustapa Mohamed dilaporkan memberitahu kerajaan Kelantan tidak berhak menuntut bayaran royalti minyak dan gas kerana hasil petroleum itu diperolehi di kawasan bertindih.

Malaysia dan Thailand menandatangani perjanjian persefahaman pada 1979 berkaitan kawasan pembangunan bersama (JDA) yang diteroka kedua-dua negara.

Malaysia dan Vietnam juga bersetuju mengusahakan secara bersama cali gali minyak di kawasan berkenaan.

Husam berkata, sekiranya kawasan pelantar carigali minyak dan gas tersebut terletak di sebelah Thailand sudah tentu pelantar tidak dinamakan dengan nama Melayu iaitu Kekwa, Cakrawala, Seroja, Bintang dan Lawen.

“Sekiranya diukur jarak pelantar tersebut dengan pantai Kelantan hanya 170 km berbanding dengan Terengganu 220 km. Dan nilai pengeluaran gas dan minyak dari pelantar tersebut sejak 2004 sehingga tahun lepas berjumlah RM46.8 bilion.

“Sedangkan di perairan Terengganu sebanyak RM36 bilion manakala Sabah (RM5 bilion). Ini bermakna jumlah pengeluaran dari perairan Kelantan lebih besar,” ujarnya.

Oleh itu beliau berkata, kerajaan pusat sewajarnya membayar royalti sebanyak 5 peratus setahun seperti termaktub di bawah Akta Petroleum yang dianggarkan melibatkan sebanyak RM850 juta sehingga RM1 bilion sejak 2004 sehingga sekarang.

Beliau juga berkata, Kelantan masih mengharapkan pertimbangan sewajarnya kerajaan pusat bagi membayar royalti petroleum tersebut.

Menurutnya biar pun ada cadangan supaya tuntutan itu dibuat melalui perundangan, namun kerajaan negeri masih memilih menggunakan kaedah rundingan.

“Kita berharap ketua pembangkang di Dun Kelantan, Dato’ Md Alwi Che Ahmad membantu menyelesaikan tuntutan tersebut.

“Sekiranya ia menjadi kenyataan hasrat Adun Paloh, Dato’ Nozula Mat Diah untuk mendapat kenaikan elaun boleh dipertimbangkan,” katanya.

Manakala Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman (PAS – Mengkebang) mencadangkan kerajaan negeri menjemput alim ulama bagi menunaikan solat hajat dan menujat bagi melembutkan hati perdana menteri menimbangkan royalti minyak kepada Kelantan.

Lanjusoh/mj/harakahdaily

PKA WITHOLDS SCHEDULED PYMENT TO PKFZ SDN BHD

In 1 on June 29, 2009 at 9:07 am

Port Klang Authority withholds payments over PKFZ

PORT KLANG: The Port Klang Authority has decided to withhold payments due to Kuala Dimensi Sdn Bhd for the Port Klang Free Zone project.
(Klick on the image to enlarge it)

Its chairman Datuk Lee Hwa Beng said the board had decided to do this pending completion of the full review of the project by the task force already commissioned to take another look into PKFZ.

“As has been previously announced, the PKA has commissioned the task force to make recommendations on action to be taken based on the PriceWaterhouseCoopers report.

“The PKA board has resolved, on the basis of preliminary and provisional views obtained, to withhold these payments pending the completion of the full review by the task force.

“The authority recognises that in not making these payments litigation could result against it. If this happens, PKA will defend these actions and will await the outcome of the litigation, which will determine PKA’s true liability,” he told reporters at a press conference here Tuesday.

The authority was supposed to have paid Special Port Vehicle Bhd, Transhipment Megahub Bhd, Valid Ventures Bhd and Free Zone Capital Bhd totalling some RM660mil payable in four parts this and next month.

The payment is for:

– RM130mil
allegedly payable on or before Tuesday under the Sale and Purchase agreement dated Nov 12, 2002 between KDSB and PKA,

– RM230mil
allegedly payable on or before Tuesday under the Development a greement dated March 27, 2004 between KDSB and PKA

– RM150mil
allegedly payable next month under the supplemental agreement for additional development works dated Nov 30 between KDSB and PKA

– RM150mil
allegedly payable next month under the supplemental agreement for new additional development works dated April 26, 2006 between KDSB and PKA.

The board, he stressed, was taking the action in the best interest of the authority and had not decided so due to pressure from any outside party.

“The Board’s decision is also part of efforts by the ministry to restructure PKFZ’s financial position and seek appropriate legal remedies, including a legal review of some of the agreements it had signed in the past,” he said.

Lee said the full recommendations of the special task force were expected to be submitted to PKA and Transport Minister in August.

WANI MUTHIAH/theStar

TUAN AZIZ KETUA PEMUDA UMNO KUALA KRAI CALON BN

In 1 on June 29, 2009 at 2:50 am

Tuan Aziz, 39, Pengurus Bahagian Pemantauan Projek Kesedar yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krai dipilih calon BN PRK N41.


Tuan Aziz Direstui Pimpinan Parti, Akar Umbi

KUALA KRAI, 28 Jun (Bernama) — Pengurus Bahagian Pemantauan Projek Kesedar Tuan Aziz Tuan Mat dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, 14 Julai ini.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemilihan , pada satu majlis yang diadakan di Kampung Sok Luar, Manik Urai, di sini.

Muhyiddin ketika membuat pengumuman itu berkata pemilihan Tuan Aziz direstui dan mendapat sokongan padu pimpinan parti termasuk Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga semua peringkat Umno selain diterima baik anggota akar umbi.

“Mengikut perlembagaan parti, jika ada kerusi yang kosong dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan adanya pilihan raya, kita perlu runding untuk pilih calon, runding dengan (Umno) Negeri, bahagian.

“Kita beri peluang semua untuk kemuka pandangan. Susahnya kita di Manik Urai ini (untuk pilih calon), kerana ada ramai tokoh yang layak. Bagaimanapun, kita timbang secara halus, kita letakkan calon yang diterima pengundi,” katanya.

Turut hadir, Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil Manek Urai Datuk Mustapa Mohamed, Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Puteri Datuk Rosnah Rashid Shirlin, pimpinan Umno dan parti komponen tempatan.

Muhyiddin berkata seluruh pimpinan parti yakin Tuan Aziz dan jentera pilihan raya yang diketuai Mustapa, dapat menebus kekalahan BN di kerusi itu pada pilihan raya Umum 8 Mac tahun lalu.

“Calon kita nak bela umat Islam dan bawa obor perpaduan. Beliau seorang yang berpengalaman, ada rekod kerja yang baik di sini, bukan seorang penjual ikan, dan berkelulusan tinggi.

“Penting untuk pilih calon yang berilmu kerana dialah yang nak bimbing masyarakat di sini, tak ada ilmu bahaya kerana mungkin dia terseleweng,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata mungkin ramai yang memandang sinis jika BN menang di Manik Urai kerana wakil rakyat BN hanyalah pembangkang dalam DUN Kelantan malahan ia langsung tidak akan menjejaskan struktur kerajaan negeri yang dipimpin PAS.

Namun, tegas beliau, wakil rakyat BN di Kelantan disokong oleh kerajaan Pusat.

PRK N041

NASIB PENJAWAT AWAM YANG BAWA PULANG HANYA 40% GAJI BULANAN

In 1 on June 28, 2009 at 10:33 pm

Penjawat Awam Terima Gaji Bersih Tak Sampai Separuh

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) — Seramai 450,000 orang daripada 1.2 juta petugas awam menghadapi masalah hutang dan golongan ini perlu diberi perhatian khas kerana mereka mudah terjerumus dalam gejala rasuah.

Setiausaha Agung Cuepacs Ahmad Shah Mohd Zin berharap ketua-ketua mereka di jabatan atau kementerian mengambil sikap berperikemanusiaan dalam mengendalikan masalah mengenai kumpulan ini, yang rata-ratanya membawa pulang hanya 40 peratus daripada gaji mereka.

“Kebanyakan gaji mereka dipotong untuk pelbagai pinjaman seperti perumahan dan kenderaan atau mengubah suai rumah,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Shah berkata ramai penjawat awam diberi kelonggaran oleh kerajaan untuk membuat kerja sambilan seperti membawa teksi, menjadi agen jualan langsung dan berniaga untuk menampung pendapatan tetapi ini tidak mencukupi.

“Kos sara hidup di bandar adalah tinggi dan ini menyebabkan ramai yang terpaksa berhutang,” katanya. Setiausaha Agung Fomca, Muhammad Shaani Abdullah, bersetuju bahawa satu daripada faktor yang menyebabkan ramai petugas awam berhutang ialah perbelanjaan yang tinggi di bandar.

“Untuk mengatakan mereka ini tidak tahu menguruskan kewangan adalah satu tanggapan salah,” katanya.

Yang sebenarnya, kata Muhammad Shaani, ialah gaji petugas awam tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup.

Beliau memberi contoh bahawa 30 tahun lepas, kos untuk satu sarapan ialah RM1.20 tetapi kini ianya melambung lima kali ganda sedangkan pendapatan penjawat awam tidak meningkat selari dengan kenaikan kos itu.

Muhammad Shaani berkata jika kerajaan tidak dapat menaikkan gaji penjawat awam, ia boleh membantu dengan cara lain seperti menjadikan pengangkutan awam lebih murah, menyediakan lebih banyak biasiswa untuk anak-anak mereka dan memberikan potongan bagi kemudahan tertentu.

Sajad Hussein/BERNAMA</span.

FIKRAH HARUSSANI UNTUK KAJIAN UMUM

In 1 on June 28, 2009 at 12:07 pm

Bagi mereka-mereka yang mahu dan mampu berfikir secara rasional dalam memikirkan ayat-ayat ALlah serta peringatan AlQuran secara total, bukan secara berpilih.

“Apakah kamu beriman kepada sebahagian kitab dan kufur kepada sebahagian yang lain” Al Baqarah: 85

MINGGUAN: Apa pandangan Tan Sri berhubung kegagalan pembentukan kerajaan perpaduan, yang sekali gus menggagalkan usaha untuk menyatukan umat Islam di dalam UMNO dan Pas?

HARUSSANI: Sebagai orang Islam kita berpegang kepada Rukun Iman dan salah satunya ialah percaya kepada Allah, yang bererti kita mengucap dua kalimah syahadah, apabila kita mengucap dua kalimah syahadah kita masuk kumpulan muslim.

Apabila kita sudah masuk dalam kumpulan muslim, Allah sudah ‘ikat’ kita melalui firman-Nya dalam surat al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang Muslim itu adalah bersaudara kerana ini damaikanlah antara keduanya saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah semoga kamu mendapat rahmat-Nya.”

Manakala Rasulullah SAW pula pernah bersabda bahawa, orang muslim itu adalah saudara bagi orang muslim yang lain, kemudian Nabi kata, siapa sebenarnya orang muslim itu, orang-orang muslim yang selamat daripada keburukan lidahnya dan keburukan tangannya. Maka itu Rasullullah sendiri dalam membentuk ajaran Islam baginda mempersaudarakan orang Islam.

Maknanya, itulah perjuangan utama kita iaitu mesti mempersaudarakan sesama orang Islam. Ia adalah perbuatan yang sebagaimana dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya bermaksud: … dan peliharalah hubungan silaturrahim… (an-Nisa’: 1).

Oleh itu, kalau kita memecah belah orang Islam itu bukan ajaran Islam, itu ajaran syaitan. Tuhan sudah sebut bahawa syaitan itu bertujuan untuk membangkitkan di antara kamu permusuhan dan pergaduhan. Jadi pada saya, perpaduan itu adalah sesuatu yang cukup mustahak, perkara pokok yang wajib kita usahakan dalam apa bentuk pun. Berdasarkan kepada hujah itu, saya berpendapat, idea kerajaan perpaduan adalah satu idea yang cukup baik dan saya amat bersetuju dengan langkah tersebut.

Kalau kita lihat pada waktu ini, apabila orang Islam berpolitik, mereka berpecah sesama mereka. Ini berbeza dengan kaum lain, orang Cina contohnya, mereka pun berpolitik tetapi walaupun berada dalam parti yang berbeza-beza, mereka bersatu, ertinya mereka berpecah untuk mendapatkan sesuatu sedangkan kita berpecah untuk menghilangkan sesuatu.

Mereka (orang Cina) berpecah supaya banyak suara atau banyak jurusan bagi membolehkan mereka menuntut sesuatu demi kepentingan bangsa mereka, begitu juga dengan kaum India, mereka berpecah supaya mereka mempunyai banyak jalan bagi menyuarakan tuntutan atau pandangan. Tetapi bagaimana dengan orang Melayu? Kita memaki hamun sesama kita dan berpatah arang, berkerat rotan. Ini adalah satu perbuatan yang cukup buruk sekali. Ini bukan daripada etika Islam bahkan ia etika syaitan. Maka itu saya cukup kecewa apabila orang Islam sendiri menolak perpaduan dan lebih mementingkan perpaduan dengan bangsa asing daripada bersama orang Melayu.

Kita jangan lupa kedudukan Melayu dalam negara ini, hanya berapa peratus sahaja. Mungkin kalau kita bandingkan dari segi pecahan Islam dan bukan Islam, mungkin 50-50. Ia bermakna kalau kita berpecah suara kita menjadi minoriti, jadi bila kita hendak berjaya?

Dalam masa 18 tahun kebelakangan ini, ekonomi orang Melayu tidak bergerak, kaum Cina meningkat kepada 42 peratus, India (35 peratus), orang Melayu sudah 18 tahun tidak meningkat. Dalam 18 tahun itu juga, orang India yang sebelum ini berada di bawah orang Melayu kini naik mengatasi orang Melayu, kaum Cina yang sudah tinggi, kini melonjak, orang Melayu ketinggalan di belakang. Oleh itu, kalau kita berpecah lagi, keadaan umat Islam akan menjadi bertambah buruk. Allah sudah menyatakan perkara ini dalam al-Quran melalui firman-Nya yang mengingatkan kita bahawa jangan kamu berpecah, kamu akan gagal dalam hidup ini. Akan hilang wibawa kamu dalam masyarakat. Itu Tuhan sudah sebut terang-terang, kenapa kita memilih jalan perpecahan, ini yang saya paling kecewa.

Tetapi Pas tidak mahu bekerjasama dengan UMNO kerana mendakwa pernah ditipu suatu ketika dahulu, apakah ini wajar?

HARUSSANI: Tak kan kerana perkara itu, ia tidak boleh dimaafkan? Kalau itu satu pengalaman tidak bolehkah kita baikinya supaya tidak berulang? Kita sudah ada perjanjian bagi memastikan perkara itu tidak berlaku lagi. Anak kita pun kadang-kadang buat salah dengan kita tetapi kenapa kita boleh makan bersama semula dan boleh beri nasihat? Allah pun menyeru memohon keampunan kepada-Nya dan menyuruh kita bermaaf-maafan.

Jadi tak kanlah hanya kerana satu peristiwa itu, kita hendak menjadikan sandaran, apakah kita hendak hancur? Ini yang menjadi masalah. Atau kita hendak pakai juga pepatah, biar papa asal bergaya? Maknanya kita jadi hero tetapi kita kalah, kita kecundang, apa gunanya semua itu.

Saya tidak peduli, apa pun orang nak tuduh bila saya bercakap macam ini. Di Kuala Lumpur, orang-orang muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) kata Mufti Perak sudah masuk UMNO, saya tidak pernah masuk mana-mana parti , UMNO pun tak suka saya.

Kalau UMNO tidak betul, UMNO saya ‘bantai’, kalau raja tak betul, raja saya ‘hentam’ saya nak kisah apa. Malah suatu masa dulu, Suharto ketika minum bersama saya, bila dia cakap tak betul dari segi hukum berkaitan faedah (bunga) bank, saya tegur. Pada hal seluruh ulama Indonesia sentiasa menyokong apa sahaja yang beliau kata, tetapi saya tidak.

Masalahnya apabila seseorang bertaraf Mursyidul Am dalam Pas bercakap, orang lebih mempercayai kata-katanya biarpun dia mengecam sesama Islam.

HARUSSANI: Kita pun tidak menafikan perangai pemimpin UMNO dahulu, sombong dan berlagak, tetapi sekarang sudah ada kesedaran berhubung kesilapan yang dilakukan. Tetapi kalau kita masih dengan hujah masing-masing, itulah masalahnya. Kita sudah tengok kaum India yang merupakan kelompok kecil sudah mempunyai suara yang cukup kuat tetapi kita semakin lemah kerana berpecah.

Bagaimanakah kita hendak satukan orang Melayu, kalau penyokong parti masing-masing terus mengamalkan politik sempit?

HARUSSANI: Kita lupakan soal politik, kita balik kepada agama kita, balik kepada Tuhan kerana Islam menyuruh kita bersatu kerana kita bersaudara sesama Islam, haram memutuskan silaturahim. Kembalilah kepada ajaran Islam jangan terlalu banyak politiking.

Kita berpolitik dengan tujuan mentadbir negara sahaja, bukan untuk berkelahi sesama kita, tetapi malangnya apa yang berlaku sekarang apabila orang Melayu kita masuk politik mereka menjadi taksub. Apabila bersikap demikian maknanya orang lain tak betul dia sahaja yang betul.

Contohnya, krisis politik di Perak, apabila pakatan pembangkang membawa kes itu ke mahkamah, pada mulanya mereka menang, mereka seronok. Kemudian apabila UMNO membuat rayuan dan menang, mereka (pakatan pembangkang) kata ini tidak boleh, ini tidak betul. Persoalannya apakah (keputusan) yang dahulu betul? Tak kan dulu seorang hakim dan sekarang tiga hakim, tiga yang buat salah. Kemudian buat rayuan kepada Mahkamah Agung, lima hakim yang bersidang membuat keputusan yang sama, jadi tak kan kita tidak mahu terima, tak kanlah hakim-hakim itu berat sebelah.

Oleh itu, saya tidak boleh terima tindakan pembangkang tetapi bila saya cakap macam ini mereka kata saya anti Pas, bila keluar kenyataan saya dukacita kerana kerajaan perpaduan gagal, mereka kata patutlah dapat (dianugerah) Tan Sri, sedangkan saya tak tahu fasal ‘Tan Sri’. Sebelum ini saya berada di Mekah, balik sahaja ada surat suruh terima, bukan UMNO yang beri tetapi Yang di-Pertuan Agong.

Ada pihak mengkritik meminta Tan Sri jangan campur urusan politik, apa komen Tan Sri?

HARUSSANI: Saya cuba melihat perjalanan politik mereka dan saya lihat ia tidak betul dari segi syarak, itu yang saya tegur. Begitu juga bila UMNO bersikap tidak adil atau sombong, saya akan tegur. Dalam soal Pas, saya pun tahu sikit-sikit fasal hukum Islam, oleh itu apabila apabila saya melihat tindakan mereka menyeleweng daripada hukum syarak, itu saya tegurlah. Tak kanlah kerana itu pun nak suruh saya masuk UMNO.

Memang saya tidak tahu politik, kalau nak suruh cakap fasal politik, saya tak tahu, suruh cakap fasal ekonomi, saya bukan ahli ekonomi. Sebab itulah kebanyakan ustaz-ustaz yang menjadi ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), apabila orang bahas ekonomi, dia tidak boleh bercakap. Golongan ustaz-ustaz ini hanya tahu soal dakwah, tidak tahu fasal politik. Kita perlu faham politik ini harus tahu semuanya.

Sebab itu saya tidak mahu terlibat dalam politik, kalau mahu dah lama saya boleh berbuat demikian. Saya fikir kalau saya jadi ahli Parlimen atau ADUN, jika orang bercakap perkara saya tak tahu, buat apa. Kita tengok dalam Parlimen, apabila bercakap soal agama Islam ia lebih banyak menyentuh soal zakat, wakaf dan urusan pejabat agama, itu sahajakah? Sedangkan banyak lagi perkara yang boleh dibangkitkan, begitu juga ahli UMNO, kalau soal Islam tanya fasal berapa kutipan zakat, sepatutnya tak perlu tanya, itu kita punya.

Adakah dalam soal perpecahan umat Islam ini, para alim ulama harus campur tangan?

HARUSSANI: Selamanya kita sudah memainkan peranan, tiap kali bersyarah saya akan membangkitkan soal perpaduan, soal silaturahim, saya bangkit soal etika permasyarakatan, jangan lupa hukum bermasyarakat kerana kalau kita lupa dan buat silap sikit kita boleh menjadi fasiq, tapi siapa yang peduli?

Ketika memberikan tazkirah sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, semalam (Khamis) saya bercakap sedikit sahaja mengenai sembahyang. Saya tidak kupas berapa rakaat sembahyang, saya tekankan soal firman Allah bahawa sembahyang itu mencegah kamu daripada perbuatan keji dan mungkar. Bila kita sembahyang, pejamkan mata dan cuba lakukan pembetulan dalam diri, apakah kita mempunyai sifat-sifat seperti ego, takbur, sombong, marah, mengumpat orang dengki atau khianat kepada orang lain. Kalau ada sifat itu masa sembahyang kena buang, kalau ada sifat itu ketika sembahyang, maka sembahyang kita tidak terpakai, ini Allah tegaskan dalam Firman-Nya yang bermaksud; Celaka bagi orang yang sembahyang tetapi lari daripada hikmah sembahyang itu sendiri. (al-Maa’uun: 4-5)

Itu semua harus dihapuskan, bila sembahyang lahirlah dia sebagai insan Rabbani. Bila kita tidak ada sifat-sifat tak baik itu, kalau dia menjadi pemimpin ia akan menjadi pemimpin yang adil, pemimpin yang bertimbang rasa, bertanggungjawab dan jujur. Kalau dia seorang bapa dia seorang bapa yang bertanggungjawab, kalau suami dia akan berikan hak kepada isteri dengan sebaik-baiknya, kalau dia isteri dia akan menjaga suami dan anaknya.

Adakah kuasa yang menjadi penyebab atau faktor yang tersirat di sebalik yang tersurat menjadi punca keengganan menjayakan kerajaan perpaduan ini?

HARUSSANI: Jika kuasa menjadi matlamat sampai bila-bila pun perpaduan umat Islam tidak akan dapat dicapai dan pelaksanaan kerajaan perpaduan tidak mampu dilakukan. Sepatutnya, kuasa politik yang kita ada itu digunakan untuk mencapai perpaduan, keadilan dan persaudaraan.

Sebab itulah orang Arab tidak boleh menang melawan Israel. Begitu juga apabila setiap negara mengatakan ia lebih kuat daripada yang lain. Contohnya, Libya dan Mesir, sudah beberapa kali mereka berpecah akibat perbezaan politik. Ia berlaku kerana masing-masing merasakan mereka lebih berkuasa, ini masalahnya.

Kalau kuasa itu menjadi matlamat, maka kita tidak akan berjaya tetapi kalau matlamat kita adalah untuk melahirkan kedamaian, persaudaraan dan keadilan itu maka ia akan berjaya.

Dalam soal ini, kedua-dua parti terlibat, UMNO pun kalau mereka melihat kepada kuasa sahaja, ia tak kan ke mana, saya bukan nak kata kepada Pas sahaja.

Kalau persengketaan ini berterusan apa yang berlaku kepada orang Islam?

HARUSSANI: Jika ini dibiarkan berterusan, orang Islam akan hancur. Bila berpecah, kita akan jadi lemah dan hilang wibawa termasuk kuasa politik. Jika ini berlaku, hancurlah kita, ini yang saya lihat.

Ada bertanya kenapa saya berani bercakap, Saya hanya bercakap yang hak (benar), apa hendak jadi, jadilah. Politik tidak lagi dilihat sebagai alat tetapi bagi mendapatkan matlamat iaitu kuasa, kalau itu tujuannya habislah orang Melayu dan Islam.

Apa yang paling merisaukan ialah keyakinan orang kepada individu bertaraf ulama, akibatnya apa sahaja dia cakap orang akan percaya, biarpun ia boleh memberi kesan yang buruk kepada perpaduan umat Islam, apa komen Tan Sri?

HARUSSANI: Rasulullah pernah mengingatkan takutlah kamu kepada penyelewengan ulama kerana dia mempunyai pengaruh. Tetapi kita sama-sama Islam dan berilmu kita boleh timbang sendiri, jangan kita taksub tak tentu fasal, lepas itu kita gelar orang macam-macam, dari segi syarak itu haram.

Firman Allah: Wahai orang yang beriman, janganlah satu kaum mencela kaum yang lain, boleh jadi mereka yang dicela itu lebih baik daripada yang mencela dan janganlah para wanita mencela wanita yang lain, boleh jadi wanita-wanita itu lebih baik daripada wanita-wanita yang mencela dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri, dan janganlah kamu saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk-buruk… (al-Hurujat: 11).

Tetapi apa yang kita lihat ada panggil orang komunis, ayah pin, ini apa? Tambahan pula yang dengar itu pula orang tak tahu. Contohnya seorang doktor bila dia bagi ubat orang percaya, tok bomoh cerita fasal penyakit barah orang terus percaya sebab dia tok bomoh. Pada hal dia pun tak tahu apa-apa.

Islam menerima perbezaan pendapat. Malah al-Quran dalam surah an-Nisa’ ayat 59 menjelaskan bagaimana menghadapi perbezaan pendapat. Soalnya, mengapa terdapat parti-parti politik yang terlibat tidak mahu mentaatinya?

HARUSSANI: Dalam ayat itu Allah berfirman yang maksud-Nya, Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan ulil amri, kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian.

Sepatutnya, sebagai saudara seagama, kita patuh kepada arahan Allah. Kita juga wajib patuh kepada pemerintah selagi mana tidak diarahkan membuat maksiat. Kalau tidak taat, maka kita durhaka. Sekali pun jika pemimpin itu zalim.

Rasulullah SAW bersabda: Bantulah saudaramu baik yang berbuat zalim atau yang dizalimi. Baginda ditanya, Kalau yang dizalim kami boleh menolong tetapi bagaimana dengan yang menzalimi wahai Rasulullah? Baginda menjawab, kamu pegang kedua tangannya atau kamu cegahnya daripada melakukan kezaliman, itulah cara kita menolongnya.

Sepatutnya hubungan sesama Muslim itu penuh dengan kasih sayang bukannya menyemai sikap benci membenci atau keras. Ingatlah firman Allah yang maksud-Nya: Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan baginda adalah keras terhadap orang-orang kafir tetapi berkasih sayang sesama mereka (Muslim)…(al-Fath; 29)

Rasulullah SAW bersabda, “Seorang Muslim itu adalah saudara kepada seorang Muslim yang lain, ia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya kepada musuh… janganlah kamu saling berhasad dengki, janganlah saling bermusuhan dan janganlah kamu saling menipu… jadilah kamu semua hamba-hamba Allah yang bersaudara.”

Kesimpulannya, bagaimana kita hendak selesaikan kemelut ini?

HARUSSANI: Kalau ulama perlu ambil peranan untuk selesaikannya, kita harus kembali ke pangkal jalan. Asas utama yang perlu adalah perpaduan, silaturahim dan hormat-menghormati. Perseteruan, pecah belah dan persengketaan adalah ajaran syaitan. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan itu hendak menimbulkan permusuhan di antara kamu… (al-Maidah: 9).

UMNO KERAHKAN SEGALA BALA TENTERA , KERETA KEBAL, KAPAL SELAM, JET PEJUANG DAN APA SAJA….

In 1 on June 28, 2009 at 11:44 am

Umno mahu guna tentera menangi p’raya Manek Urai

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Hrkh) – Tindakan Umno yang mahu menggunakan tentera untuk memenangi pilihan raya kecil Manek Urai disifatkan bacul oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau menuntut Umno supaya tidak bersikap bacul dengan menyalahgunakan sumber-sumber ketenteraan dalam pilihanraya.

Untuk mengalahkan calon PAS di Manek Urai, Umno akan membawa masuk Angkatan Tentera Darat untuk meraih undi daripada penduduk, kata Mahfuz.

Ketika mendedahkan perkara itu dalam Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengemukakan pertanyaan kepada Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Dr Awang Adek Hussin yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, Awang Adek membisu. Malah, kesemua menteri dan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional diam ketika Mahfuz mengemukakan pertanyaan mengenai dokumen Kementerian Pertahaanan itu.

Tidak puas hati dengan sikap membisu para pemimpin Umno terhadap apa yang dibangkitkannya itu, beliau kemudiannya mengadakan sidang akhbar mendedahkan perkara itu (video sidang akhbar di sini).

Operasi meraih undi untuk Barisan Nasional menetapkan misi khas kepada anggota tentera melalui perlaksanaan beberapa projek kebajikan di kubu kuat PAS di DUN Manek Urai untuk menyakinkan pengundi memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional, kata beliau.

Beliau memberikan bukti dalam bentuk salinan dokumen Kementerian Pertahanan yang memberi arahan khusus tentang perlaksanan projek itu.

“Bersama saya surat dari staf perisikan di Kementah kepada Panglima Angkatan Tentera, yang mengarahkan satu projek awam mesti dibuat di bawah Angkatan Tentera Darat di kawasan-kawasan peti undi kelabu dan hitam di mana Barisan Nasional (diharapkan) mampu memperkukuh tahap sokongan berdasarkan kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-12,” kata Mahfuz.

Beliau berkata walaupun angkatan tentera melaksanakan projek-projek itu seolah-olah untuk membantu rakyat, dokumen berkenaan jelas menunjukkan tentera turut “diseret ke dalam kempen politik bagi menjayakan kemenangan Barisan Nasional”.

“Ini ayat cukup jelas hasil dari Bahagian Risik dan dipersetujui oleh Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan yang telah pun mengeluarkan arahan melaksanakan projek Jiwa Murni,” tambah Mahfuz

Mahfuz berkata Projek Jiwa Murni dilancarkan bagi memberi kemenangan kepada Barisan Nasional pada pilihanraya kecil Manek Urai pada 14 Julai nanti.

Menurut beliau, antara kawasan yang disasarkan di bawah projek itu adalah Lata Rek, Laloh, Sungai Perial, Sungai Sok, Temalir, Chuchoh Puteri, Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru.

“Ini semua berkaitan dengan kajian kekuatan dan kelemahan Barisan Nasional yang dibantu oleh Bahagian Perisikan Tentera,” kata Mahfuz.

Menurut beliau, mengheret angkatan tentera untuk menjayakan kemenangan Barisan Nasional adalah di luar dari bidang tugas tentera.

“Saya bukan menghalang mereka buat projek membantu masyarakat.

“Di sini jelas menyatakan arahan supaya projek itu tidak dibuat dekat dengan penamaan calon nanti akan dilihat mengatakan pihak tentera terlibat secara langsung,” kata Mahfuz.

Arahan itu, katanya, jelas merupakan satu taktik untuk mengabui mata rakyat dan Pakatan Rakyat.

“Hakikatnya ialah ini adalah projek pilihanraya,” kata Mahfuz

Abdul Aziz Mustafa/Harakahdaily