drhalimahali

SOALAN CEPU EMAS: Rumah kediaman manakah yang tak siap-siap?!

In Uncategorized on April 27, 2011 at 4:32 am
Kediaman PM dan TPM tidak pernah siap
Subky Latif   
KETIKA saya ke Putrajaya tersesat ke satu jalan mati. Si hujung jalan mati di tebing sungai tersergam sebuah mini istana. Ia rupanya kediaman Timbalan Perdana Menteri.
Ia bukan jalan masuk ke kediaman Tan Sri Muhyidin Yassin itu. Jalan itu sempit. Untuk pusing ke belakang pun sulit. Ia sesuai bagi penghuninya lari kalau dia diburu dari jalan masuk yang sebenar.
Mengikut orang-orang di Putrajaya, Tan Sri Muhyiddin tidak tetap bermalam di situ dan dia belum betul pindah ke situ walau pun sudah lebih dua tahun jadi Timbalan Perdana Menteri.
Saya diberitahu, mini istana itu sedang direnovasi. Mungkin itu yang menyebabkan TPM tidak menetap tetap di situ.
Kononnya sebaik sahaja dia pindah ke situ, dia mengubah suainya.
Rumah itu dibina untuk Timbalan Perdana Menteri ketika penjawatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kerana malamnya sama banyak dalam dan luar negeri dan di dalam negeri pun dia ada rumah sendiri, maka kurang sangat dia bermalam di situ.
Bila Tun Abdullah Badawi menjadi tuan baru bangunan itu, dia dikatakan membuat ubah suai. Apabila dia pindah ke kediaman Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri Najib pun menjadi penghuninya.
Cita rasa pasangan suami isteri itu biasanya lebih tinggi dari penghuni sebelumnya. Lebih banyak ubah suai dilakukan.
(Kediaman Perdana Menteri, Seri Perdana)
Tidak diketahui besar mana belanja renovasi itu.
Tiba giliran Muhyiddin Yassin menjadi penghuninya, dia mengesahkan rumah itu tidak pernah siap. Sedang direnovasi lagi.
Jika 50 tahun Barisan Nasional memerintah, jika gaya hidup demikian diteruskan, berapa puluh lagi mini istana itu akan menghadapi ubah suai. Ia mungkin kekal menjadi bangunan yang tidak pernah siap.
Abdul Khalid Samad, Anggota Parlimen Shah Alam berceramah di Taman Melewar, Gombak. Dia menyebut satu peruntukan dalam bajet negara yang dibentang Najib ialah mengubah suai kediaman Perdana Menteri, Seri Perdana sebanyak RM65 juta.
Wau! Banyaknya!
Wang sebesar itu boleh membina sebuah kediaman yang kecil sedikit dari kediaman Perdana Menteri yang ada itu. Kalau dibina di tanah di luar Putrajaya bagi banglo sejuta ringgit sebuah, boleh dapat  65 buah.
Apa lagi kurangnya kediaman Perdana Menteri yang ada itu?
Adakah ia satu contoh mendahulukan rakyat? Atau ia mendahulukan Perdana Menteri dan anak-anaknya selama menjadi Perdana Menteri?
Adalah betul ia bukan rumah Najib dan Rosmah. Ia kediaman Perdana Menteri dan bagi sesiapa saja yang menjadi Perdana Menteri selepas ini.
Orang tidak tahu akan keperluan renovasi sehingga RM65 juta itu. Tetapi yang dapat dikhayalkan itu tuntutan yang dibuat oleh Puteri Gunung Ledang apabila Raja Melaka meminangnya.
Raja Melaka pun tak sanggup menunaikannya padahal baginda adalah raja. Ertinya dalam kediaman Najib itu ada ruh dan impian Puteri Gunung Ledang. Ia satu kehidupan kayangan yang fantasi. Impian Puteri Gunung Ledang itu satu kisah dongeng. Tetapi fantasi pasangan Najib ialah satu transformasi dongeng?
Biasanya peruntukan RM65 juta itu tidak dibelanjakan mengikut nilai peruntukan itu. Ia boleh memberi komisyen hingga 30 peratus. Barisan Nasional terkenal dengan keberanian menggandakan peruntukan sesuatu projek, hingga yang sepatutnya murah menjadi mahal tang-tang-tang.
Ia satu cara untuk menghalalkan lintah darat mengaut duit negara.
Tunku Abdul Rahman Putra dulu anak Sultan. Sebagai Perdana Menteri dia tinggal di bangunan yang dinama Residensi di tengah Jabatan Perdana Menteri. Bangunan lama yang digunakan oleh Orang Putih dulu. Kerajaan ketika itu membina kediaman Perdana Menteri yang dinamakan Seri Taman di belakang Masjid Negara. Bila siapa Tunku enggan pindah. Rumah itu pun didiami oleh Timbalan Perdana Menteri Tun Razak
Tunku itu anak Raja. Tetapi agaknya kerana berjiwa rakyat, dia memilih kediaman yang  sederhana. Tetapi anak rakyat yang menjadi Perdana Menteri, mungkin berjiwa raja, maka memilih gaya hidup dan impian bangsawan.
Amat tidak sedap mendengar cerita kediaman Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri yang tidak pernah siap ini. Ia cerita yang berkembang dalam masyarakat. Ia boleh memburukkan imej pimpinan negara.
Cerita yang saya dengar mungkin lagi memburukkan Perdana Menteri dan timbalannya. Maka wajar Perdana Menteri atas nama Menteri Kewangan membuat penjelasan supaya orang tidak bersangka tidak baik kepada pemimpin negara.

http://bm.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&view=article&id=2986:kediaman-pm-dan-tpm-tidak-pernah-siap&catid=61:subky-latif&Itemid=303

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: