drhalimahali

UMNO tuduh PAS AJARAN SESAT: PAS ambil tindakan!

In Uncategorized on February 16, 2012 at 5:51 am

Tuduh sesat: PAS akan lapor ke pejabat agama pula

Aziz Muda , 15 Feb 2012

KUALA LUMPUR, 15 Feb: PAS akan membuat laporan kepada Pejabat Agama Islam Negeri Terengganu berhubung kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang menuduh PAS sebagai ‘Parti Ajaran Sesat’.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik berkata, laporan itu akan dibuat dalam masa beberapa hari lagi, bagi mendesak tindakan diambil ke atas Ahmad.

Semalam beliau juga telah membuat satu laporan polis ekoran keengganan dan kegagalan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu itu menarik balik keyataannya yang menuduh PAS sebagai parti ajaran sesat’.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Kuala Terengganu, dengan ditemani beberapa orang kepimpinan PAS Terengganu.

Menurutnya, pada Khamis, 9 Februari lalu, dalam ucapannya di Majlis Mesra Media anjuran Badan Perhubungan PAS Terengganu, beliau telah meminta Ahmad menarik balik kenyataannya yang ‘menghina’ PAS itu dalam masa tiga hari.

Katanya, setelah tempoh yang diberikan berlalu, Ahmad bukan sahaja tidak mahu menarik balik kenyataannya, malah pada hari Isnin, 13 Februari lalu, beliau membuat kenyataan dengan berkata bersedia diambil sebarang tindakan.

“Jadi, semalam, 14 Februari, saya telah membuat satu laporan kepada pihak polis supaya polis menyiasat Ahmad Said di bawah akta hasutan.

“Saya berharap agar pihak polis menyiasat Ahmad Said dengan segera,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Ahmad Said baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan kotor dan berniat jahat untuk memburukkan PAS dengan menuduh PAS sebagai parti ajaran sesat.

Kenyataan Menteri Besar Terengganu itu sebelum ini telah dibidas teruk oleh beberapa orang pemimpin PAS termasuk dari kalangan pemimpin PAS negeri itu kerana jelas bertentangan dengan realiti sebenar parti itu.

“Setelah langkah pertama itu dilakukan, saya akan membuat laporan ke Pejabat Agama Islam Negeri Terengganu di Kuala Terengganu pula selepas ini supaya tindakan yang sewajarnya dikenakan ke atas Datuk Seri Ahmad Said,” katanya.

Menurut Abu Bakar, setelah mengambil kenyataan daripadanya, polis Kuala Terengganu telah memberitahu kepada beliau bahawa laporannya itu akan diserahkan kepada polis Kemaman untuk sisatan lanjut kerana kenyataan jahat Ahmad itu dibuat di Kemaman.

Beliau yang juga anggota Badan Perhubungan PAS Terengganu berkata, tuduhan Ahmad itu tidak boleh didiamkan oleh PAS kerana ia merupakan tuduhan yang amat berat bagi seseorang Islam.

“Itulah sebabnya saya meminta pihak polis menyiasat beliau di bawah akta hasutan kerana tuduhan beliau itu jelas bertujuan untuk memburukkan PAS dan menghasut orang ramai supaya membenci PAS,” tegasnya. 

Menurutnya, termasuk dalam akta hasutan itu adalah hasutan dari sudut agama, perkauman dan raja-raja, manakala tuduhan Ahmad itu adalah satu ‘hasutan agama’ yang akan menimbulkan keresahan dan kebencian di kalangan orang ramai terhadap orang-orang PAS.

Bagaimana boleh dikatakan PAS sesat, tambahnya, sedangkan PAS tidak termasuk dalam ajaran sesat yang telah disenaraikan oleh Jabatan Agama dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Malah, PAS adalah satu parti politik yang sah, berperlembagaan, ditubuhkan pada tahun 1951 untuk mendokong dasar Islam yang bermatlamat untuk menegakkan pemerintahan berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah.

“Seruannya ialah Allahu Akbar dan usaha-usahanya adalah usaha yang diharuskan menurut perlembagaan Malaysia. Malah, pada setiap kali perlembagaan PAS dipinda, ia mendapat kelulusan dari pihak Pendaftaran Pertubuhan Malaysia,” ujarnya.

Sebelum ini, Pemuda PAS Terengganu telah mencabar Ahmad berdebat mengenai tuduhannya itu, tetapi cabaran itu tidak pula disambut oleh beliau.

“Saya sendiri pula sememangnya bersedia untuk berbahas dengan Ahmad Said pada bila-bila masa sama ada berbahas atau berdebat secara terbuka atau tertutup,” tegasnya.

Beliau amat berharap agar Ahmad sedar dengan tuduhan beratnya itu terhadap PAS dengan segera merujuk balik kenyataannya dan seterusnya menarik balik kenyataan tersebut.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: