drhalimahali

TENDER RUNDING TERUS DIHAPUSKAN DI SELANGOR

In 1 on April 16, 2008 at 3:51 am
Tiada lagi tender runding terus di Selangor – MB
SHAH ALAM, Sabtu 12 April: – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan menghapuskan pemberian tender secara runding terus kepada kontraktor Bumiputera untuk mengelakkan dimonopoli pihak tertentu sahaja.

Katanya, beliau mendapati kira-kira 98 peratus projek sebelum ini diberikan dan dilaksanakan oleh kumpulan tertentu sahaja.

“Walaupun nama syarikat berbeza tapi pemegang saham dalam syarikat itu tetap sama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-22 Gabungan Ikhtisas dan Usahawan Bumiputera Anak Selangor (GIBS), di Shah Alam hari ini.

Khalid turut memberi jaminan bahawa syarikat kontraktor yang banyak mendapat kontrak kerajaan negeri menerusi kaedah rundingan terus itu tidak akan disenaraihitamkan, kecuali jika kontraktor terbabit gagal melaksanakan projek dalam tempoh yang telah ditetapkan.

“Kita hanya akan senarai hitamkan mereka sekiranya tidak menunjukkan prestasi yang baik. Kita kena ada alasan yang rasional untuk bertindak demikian. Kita juga akan lihat dan kaji nilai projek yang telah diberikan kepada kontraktor terbabit,” katanya.

Dalam ucapannya semasa majlis tersebut Abdul Khalid berkata beliau tidak akan menggunakan ‘pena sakti’ yang dikatakan menjadi milik Menteri Besar untuk memberi kebenaran dan kelulusan kepada mana-mana kontraktor mendapatkan projek.

Abdul Khalid berkata, pihaknya tetap memberi bantuan kepada kontraktor Bumiputera untuk mendapatkan projek tetapi berdasarkan kepada kemampuan, keupayaan dan pengalaman yang ada pada syarikat kontraktor terbabit.


Katanya segala urusan pentadbiran kerajaan negeri akan diputuskan bersama oleh semua anggota Exco dan pegawai yang terlibat, bukannya bergantung kepada ‘pena sakti’ Menteri Besar.

“Saya mahu mereka bersama-sama saya menyediakan segala bentuk keputusan. Saya tidak mahu hanya Menteri Besar menjadi pembuat keputusan tapi mahu semua Exco dan pegawai kerajaan juga terlibat sebagai pembuat keputusan,” tegasnya.

Leave a comment